Kampungku Sejahtera perkukuh budaya kebersihan, keceriaan komuniti di Meradong
MERADONG: Program Kebersihan, Keceriaan dan Inovasi Tahun 2026 “Kampungku Sejahtera” terus menjadi platform penting dalam memupuk budaya kebersihan, keceriaan dan inovasi dalam kalangan masyarakat di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkat program yang memasuki tahun keempat penganjurannya itu bukan sekadar pertandingan kebersihan dan keceriaan kampung serta rumah panjang, malah mencerminkan komitmen masyarakat akar umbi dalam memperindah persekitaran masing-masing.
Menurut beliau, usaha berterusan tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak dalam mewujudkan komuniti yang sihat, sejahtera dan lestari menerusi amalan kebersihan serta pengurusan persekitaran yang baik.
“Persekitaran yang bersih dan harmoni bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan mental dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya ketika merasmikan Program Kebersihan, Keceriaan dan Inovasi Tahun 2026 “Kampungku Sejahtera” di Dewan Masyarakat Bintangor pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan ketua kampung, tuai rumah dan kapitan untuk menyertai program tersebut bagi meningkatkan imej kampung dan rumah panjang masing-masing di samping memperkukuhkan semangat kerjasama dalam komuniti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Meradong dan Julau, khususnya Bahagian Pembangunan Komuniti serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.-EDISI UKAS