Sarawak Perlu Autonomi Kesihatan, Perkukuh Perkhidmatan Kardiologi
KUCHING: Sarawak memerlukan autonomi dalam sektor kesihatan bagi membolehkan kerajaan negeri merancang pembangunan tenaga pakar secara lebih strategik, sekali gus mempercepat peluasan perkhidmatan kardiologi ke Miri, Sibu dan Bintulu demi memastikan akses rawatan berkualiti dapat dinikmati rakyat di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, autonomi tersebut penting bagi memberi kuasa kepada Sarawak menentukan sendiri latihan, penempatan serta pembangunan doktor pakar mengikut keperluan negeri, selain memastikan kemudahan kesihatan baharu dapat beroperasi sepenuhnya sebaik sahaja siap dibina.
Menurut beliau, pembinaan Pusat Jantung Satelit Miri dijangka siap dalam tempoh kira-kira tiga tahun, namun latihan dan pembangunan tenaga pakar perlu dimulakan lebih awal bagi mengelakkan kekurangan doktor apabila kemudahan itu mula beroperasi.
"Kita tidak mahu apabila bangunan siap nanti, tiada doktor untuk memberikan perkhidmatan. Sebab itu Sarawak memerlukan autonomi kesihatan supaya kita boleh merancang sendiri latihan tenaga pakar mengikut keperluan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Borneo Cardiology Conference (BCC) 2026 di sini pada Khamis.
Datuk Amar Dr Sim menambah, kejayaan pelaksanaan perkhidmatan kardiologi satelit di Bintulu membuktikan penyediaan kemudahan kesihatan yang lebih dekat dengan rakyat berjaya meningkatkan akses kepada rawatan, apabila jumlah pesakit yang mendapatkan perkhidmatan berkenaan jauh melebihi jangkaan awal.
Katanya, pengalaman tersebut menjadi asas kepada perancangan untuk memperluaskan lagi perkhidmatan kardiologi satelit ke Miri dan Sibu.
Beliau turut memaklumkan Sarawak masih memerlukan kira-kira 2,000 doktor lagi berdasarkan piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala setiap pusat jantung satelit memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat pakar kardiologi bagi memastikan perkhidmatan dapat disediakan sepanjang masa.
Jelasnya, peningkatan penyakit jantung yang didorong oleh faktor penuaan penduduk serta peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi menuntut perancangan tenaga kerja kesihatan yang lebih sistematik, mampan dan berorientasikan keperluan masa hadapan.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur BCC 2026, Dr Ong Tiong Kiam berkata, Pusat Jantung Sarawak telah melahirkan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan pakar kardiologi di Malaysia, dengan sebahagian besar daripada mereka kini mengetuai perkhidmatan kardiologi di beberapa negeri termasuk Sabah dan Perak.
Kata beliau, pencapaian tersebut membuktikan kepakaran yang dibangunkan di Sarawak bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat negeri ini, malah turut menyumbang kepada pembangunan perkhidmatan kardiologi negara.
Malah jelasnya, kumpulan baharu pakar kardiologi akan memulakan latihan pada Ogos ini sebagai persediaan mengisi keperluan perkhidmatan di Pusat Jantung Satelit Miri dan Sibu apabila kedua-dua fasiliti itu siap kelak.-EDISI UKAS