Perancangan Digital Perkukuh Kecekapan Pembangunan Sarawak
KUCHING: Transformasi digital dalam perancangan bandar dan infrastruktur Sarawak terus diperkasa menerusi penganjuran bengkel “Digital Planning & BIM” yang memperkenalkan penggunaan Autodesk Forma, InfraWorks dan Revit yang diadakan di Kuching pada Khamis.
Bengkel anjuran Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) dengan kerjasama rakan industri itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030.
Pemangku Setiausaha Tetap MPHLG, Desmond Douglas Jerukan berkata penganjuran bengkel tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada pegawai kementerian dan pihak berkuasa tempatan mengenai Building Information Modelling (BIM) yang kini semakin diberi perhatian dalam pelaksanaan projek pembangunan kerajaan negeri.
Menurutnya, BIM bukan sahaja menjadi pendekatan baharu dalam perancangan dan pelaksanaan projek, malah berpotensi meningkatkan kecekapan kerja melalui penggunaan bahasa, perisian dan standard yang sama dalam keseluruhan ekosistem pembangunan.
“Cabaran utama bukan sekadar memiliki peralatan yang baik, tetapi memastikan kita mempunyai sumber, kemahiran dan sistem yang mampu mencapai standard yang diperlukan.
“Kita juga perlu melihat sama ada organisasi kita mempunyai orang yang betul untuk melaksanakan apa yang diharapkan,” katanya.
Beliau berkata kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) amat penting kerana banyak projek kerajaan tempatan kini dilaksanakan secara bersama, selain memerlukan penyelarasan dengan agensi teknikal dan penyedia perkhidmatan yang terlibat dalam penyerahan pelan.
Desmond turut menekankan keperluan membangunkan ekosistem digital yang menyeluruh, termasuk latihan berterusan kepada pihak berkuasa tempatan, peningkatan keupayaan teknikal serta pelaburan dalam peralatan digital agar pelaksanaan BIM dapat diperluaskan secara berperingkat.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh keupayaan digital sektor awam serta mempercepatkan pelaksanaan perancangan bandar pintar di Sarawak.-EDISI UKAS