MIRI: Seramai 176 pelajar cemerlang peperiksaan awam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau menerima insentif kecemerlangan akademik berjumlah RM47,900 sempena Majlis Anugerah Khas Peperiksaan Awam (MAPRA) SPM dan STPM 2025 yang berlangsung di Dewan Bunga Raya sekolah berkenaan pada Khamis.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, seramai 114 pelajar SPM 2025 yang memperoleh keputusan 5A dan ke atas menerima insentif berjumlah RM30,000, manakala 62 pelajar STPM 2025 yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 dan ke atas menerima insentif sebanyak RM17,900.
Menurutnya, pemberian insentif tersebut merupakan komitmen yang dilaksanakannya sejak tahun 2023 bagi menggalakkan budaya kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar di konstituensi Senadin.
“Jika lebih ramai pelajar memperoleh keputusan cemerlang, lebih ramai yang akan menerima insentif. Itulah tujuan utama program ini, iaitu untuk menggalakkan pelajar belajar bersungguh-sungguh dan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan dan modal insan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam pelbagai sektor strategik yang akan memacu pembangunan negeri pada masa hadapan.
Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Food Bank SMK Merbau yang diwujudkan bagi membantu pelajar yang memerlukan, khususnya mereka yang hadir ke sekolah tanpa bekalan makanan yang mencukupi.
Bagi menjayakan inisiatif tersebut, beliau mengumumkan sumbangan RM10,000 untuk penubuhan Food Bank SMK Merbau.
Selain itu, beliau turut menyalurkan RM15,000 bagi pembangunan sekolah serta RM72,000 untuk pelaksanaan fasa kedua projek Smart Classroom di sekolah berkenaan.
Turut disampaikan ialah sumbangan alat tulis kepada pelajar Tingkatan Enam Semester 2 bagi membantu keperluan pembelajaran mereka. -EDISI UKAS