Jom Heboh Kembali Meriahkan Sarawak, Diadakan di Kota Samarahan dan Miri
KUCHING: Program infotainment ikonik negara, Jom Heboh kembali membuat kemunculan di Bumi Kenyalang dengan membawa kelainan apabila julung kalinya akan diadakan di Kota Samarahan dari 31 Julai hingga 2 Ogos depan.
Sarawak bertuah apabila penganjurnya, Media Prima akan mengadakan dua siri jelajah Jom Heboh 2026 di sini pada tahun ini di mana jelajah kedua akan diadakan di Miri pada 25 hingga 27 September depan.
Bagi melancarkan persiapan, pihak Media Prima telah mengadakan kunjungan hormat kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Khamis untuk membincangkan potensi kerjasama strategik dalam menjayakan penganjuran karnival tersebut.
Ketibaan delegasi Media Prima diketuai oleh Pengarah Projek Jom Heboh, Eileen Lim bersama Pengurus Projek, Hairi, Pengarah Kandungan dan Perhubungan Tempatan, Bard Yusof, Eksekutif Kanan Serantau dan Kerajaan bagi Malaysia Timur (OMNIA), Venitia Samuel serta Pengarah Teknikal, Azizulhelmy dan disambut oleh Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali, di ibu pejabat UKAS, Bangunan Baitul Makmur di sini.
Dalam sesi pertemuan tersebut, pihak Media Prima berkongsi perancangan penganjuran Jom Heboh 2026 yang buat julung kalinya diadakan di Kota Samarahan selepas sebelum ini sering berlangsung di Dataran Perayaan, Petra Jaya.
Menurut pihak Media Prima, sokongan media tempatan amat penting bagi memastikan hebahan berkaitan festival tersebut dapat disampaikan secara meluas kepada masyarakat Sarawak, di samping memperkukuh kerjasama sedia ada antara UKAS dan Media Prima.
Jom Heboh yang diperkenalkan sejak tahun 2003 dan kini memasuki tahun ke-23 penganjurannya bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk festival makanan, kejohanan e-sukan, zoo mini dan konsert hiburan secara langsung yang dijangka menarik kehadiran pengunjung dari seluruh negeri.
Penganjuran Jom Heboh turut dilihat mampu membantu merancakkan ekonomi setempat melalui penyertaan usahawan, peniaga kecil dan penggiat industri kreatif tempatan.
Bagi menambah kemeriahan acara, turut diadakan program Jom Heboh Fun Run melibatkan kategori larian 5KM dan 8KM yang akan diadakan pada 2 Ogos, menjadikan Sarawak sebagai lokasi kedua bagi penganjuran aktiviti tersebut.- EDISI UKAS