Sarawak Perkenal Datum Geosentrik Baharu, Kukuhkan Ekosistem Geospatial Negeri
KUCHING: Sarawak melakar satu lagi pencapaian penting dalam bidang ukur dan pemetaan apabila memperkenalkan Sarawak Geocentric Datum 2020 (SGeD20) iaitu satu sistem rujukan baharu berasaskan Global Navigation Satellite System (GNSS) yang menandakan anjakan paradigma ke arah ekosistem ukur moden dan bersepadu.
Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, pelaksanaan SGeD20 merupakan sebahagian daripada inisiatif Pemodenan Kadaster Sarawak, bertujuan meningkatkan ketepatan dan kebolehpercayaan data ukur.
“Transformasi ini selaras dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0 serta Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan berasaskan data dan teknologi,” katanya ketika berucap pada Dialog Awam SGeDNet & Pemodenan Kadaster Sarawak di sini, hari ini.
Tambah Datu Awang Zamhari, melalui pembangunan Sarawak Geodetic Reference Network (SGeDnet) yang kini merangkumi 38 stesen kawalan aktif dan pasif di seluruh negeri, Sarawak kini mempunyai infrastruktur ukur moden yang kukuh dan diyakini.
Menurutnya, rangkaian SGeDnet bukan sahaja menyokong kadaster berketepatan tinggi, tetapi turut menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemetaan digital serta pelbagai aplikasi geospatial terkini.
“Dengan pengurusan data geospatial yang lebih efisien, Sarawak kini berada pada landasan tepat untuk berdiri sebaris dengan negara maju dalam pelaksanaan sistem kadaster berasaskan datum geosentrik,” jelasnya.
Tambah beliau, pelancaran SGeD20 dan pelaksanaan SGeDnet turut memperkukuh matlamat Sarawak Digital Economy Blueprint (SDEB) 2030, menjadikan data geospatial berketepatan tinggi sebagai asas kepada transformasi ekonomi digital dan pembangunan negeri pintar.
Majlis dialog tersebut turut menjadi platform rasmi bagi memperkenalkan SGeD20 kepada agensi teknikal, penyelidik, industri dan komuniti profesional juruukur tempatan, di samping membuka ruang perkongsian ilmu serta kolaborasi strategik dalam memperkukuh ekosistem geospatial negeri.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Douglas Demong