Program Intervensi Sahsiah & Rekreasi Tali Tinggi Tingkat Keyakinan Diri Pelajar
SARIKEI: Seramai 10 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiong Hin menyertai Program Intervensi Sahsiah dan Rekreasi Tali Tinggi (Indoor) yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS).
Program berkenaan bertujuan membina keberanian, ketahanan mental dan sahsiah pelajar melalui cabaran berasaskan pengalaman.
Guru pengiring, Pau Kui Hee berkata, program itu berperanan sebagai satu bentuk terapi keyakinan apabila pelajar yang biasanya pendiam kini berani mencabar diri.
“Pelajar yang biasanya menunduk di sekolah, hari ini berani menjerit dan tersenyum selepas berjaya menamatkan cabaran. Perubahan ini amat luar biasa,” katanya.
Salah seorang peserta, Grace Kiu Eng Hui, mengakui awalnya berasa takut tetapi berjaya mengatasi perasaan itu.
“Saya rasa bangga bila berjaya sampai ke penghujung. Sekarang saya lebih yakin dengan diri sendiri,” ujarnya.
Program berkenaan merupakan inisiatif khidmat komuniti (CSR) KKSRCS yang terbuka kepada semua sekolah menengah di Sibu dan dijalankan menggunakan kemudahan yang diiktiraf Malaysia Challenge Course Association (MCCA).
Aktiviti ini dikendalikan oleh fasilitator bertauliah Malaysia Challenge Rope Course (MCRC) Tahap 2 dalam persekitaran latihan yang selamat.
Selain membina keyakinan, program ini turut menekankan pembangunan sahsiah, empati, ketahanan mental dan semangat kerja berpasukan.
Setiap sesi dihadkan kepada 10 peserta bagi memastikan bimbingan lebih fokus dan berkesan.
KKSRCS amat mengalu-alukan penyertaan Pengetua serta Guru Bimbingan dan Kaunseling dari daerah Sibu untuk memanfaatkan program ini sebagai platform memperkasa pelajar dari segi sahsiah, motivasi dan kepimpinan diri.-EDISI UKAS