Kursus Keusahawanan & Kemahiran Teknikal, Lahirkan Usahawan Tempatan
TANJUNG MANIS: Kursus Keusahawanan dan Kemahiran Teknikal anjuran bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama Akademi Binaan Malaysia (ABM) membantu untuk melahirkan usahawan tempatan yang mampu berdaya saing dalam industri pembinaan dan penyelenggaraan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi CIDB, Dato Yusuf Abdul Wahab berkata, kursus berkenaan memberi pendedahan kepada komuniti luar bandar, khususnya golongan belia, dalam bidang pemasangan serta servis penyaman udara sebagai langkah memperkasa ekonomi setempat melalui kemahiran teknikal.
“Ia bukan sekadar latihan jangka pendek, tetapi usaha membina asas kukuh bagi memperkasakan komuniti luar bandar agar mampu berdikari dan menjana pendapatan melalui kemahiran.
“Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan latihan asas pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara oleh tenaga pengajar ABM dengan sokongan teknikal daripada CIDB,” ujar beliau menerusi teks ucapan yang dibacakan Pegawai Daerah Daro, Zul Usup sempena majlis perasmian kursus berkenaan, di sini, pada Selasa.
Selain latihan praktikal, peserta yang terdiri daripada 20 penduduk dari Kampung Kampung Semop, Kampung Saai dan Kampung Kut turut diberi taklimat berkaitan keusahawanan dan diperkenalkan kepada pelbagai peluang latihan serta kursus lanjutan yang ditawarkan oleh CIDB dan ABM.
Sebagai tanda sokongan kepada komuniti, CIDB dan ABM turut menyumbangkan dua unit penyaman udara untuk kegunaan Balai Raya Kampung Saai.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Abdul Rahman Ahmad. -EDISI UKAS