Penduduk Diseru Lapor Segera Parit Tersumbat, Elak Banjir Kilat
BINTULU: Orang ramai diseru segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati longkang atau parit tersumbat bagi mengelakkan kejadian banjir kilat, terutama menjelang musim tengkujuh hujung tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan sistem saliran di kawasan perumahan berfungsi dengan baik dan tidak menjadi punca limpahan air ketika hujan lebat.
“Kita perlu bekerjasama. Jika penduduk nampak ada parit tersumbat atau air tidak mengalir lancar, laporkan segera kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) atau Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) untuk tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan tapak sistem perparitan di sekitar Taman Gem Park dan Taman Bukit Orang, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, hasil tinjauan mendapati aliran air di beberapa kawasan perumahan berkenaan tidak mencukupi dan perlu dibaik pulih segera sebelum musim hujan melanda.
“Kita tidak boleh tunggu sampai banjir baru bertindak.
"Agensi perlu bersedia dari sekarang, termasuk melakukan kerja pengorekan dan pelebaran longkang bagi memastikan air mengalir lancar ke Sungai Sebiew,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyelenggaraan berjadual serta laporan segera daripada penduduk dapat membantu agensi berkaitan mengenal pasti kawasan berisiko lebih awal.
“Saya tidak mahu air tersekat di kawasan perumahan kerana longkang tersumbat. Bila air berpatah balik, banjir boleh berlaku dalam sekelip mata.
"Sebab itu penting untuk semua pihak main peranan dan bukan hanya agensi, tetapi juga orang awam,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Jawatankuasa Bencana Bahagian Bintulu akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi menilai tahap kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada semasa hujan lebat dan air pasang besar, serta tidak membuang sampah ke dalam longkang yang boleh menyebabkan saliran tersumbat.-EDISI UKAS