104 Penduduk Hilang Tempat Tinggal, KMKK Tatau Tampil Bantu Mangsa Kebakaran
TATAU: Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Tatau tampil menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa kebakaran Rumah Panjang James Kalip di Sungai Semanok dengan menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang terjejas, pada Rabu.
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pemanca Daerah Tatau, Gerosen Jubin yang mewakili KMKK bagi menyalurkan bantuan kepada semua penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Menurut beliau, bantuan tersebut merupakan tanda sokongan dan solidariti masyarakat setempat terhadap mangsa yang kini berdepan kesukaran selepas kejadian kebakaran pada 10 November lalu.
“Kejadian ini amat menyedihkan, namun semangat gotong-royong dan keprihatinan masyarakat Tatau amat kita hargai.
"Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu keluarga terkesan untuk memulakan langkah baharu serta memberi sedikit kelegaan kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau menambah, tindakan segera KMKK menyalurkan bantuan menunjukkan peranan penting kepimpinan akar umbi dalam menyokong usaha agensi kerajaan membantu mangsa bencana.
Pemanca Gerosen turut menyeru agar lebih banyak pihak tampil membantu mangsa, sama ada dalam bentuk kewangan, barangan keperluan, atau sokongan moral.
“Dalam saat begini, perpaduan dan keprihatinan masyarakat amat penting. Kita perlu berganding bahu membantu sesama kita,” ujarnya.-EDISI UKAS