Anugerah Tertinggi Jepun Angkat Kepimpinan Premier Sarawak Di Persada Dunia
KUCHING: Penganugerahan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Maharaja Jepun kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg disifatkan sebagai bukti jelas pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan beliau yang berwibawa serta visi pembangunan negeri yang progresif dan berpandangan jauh.
Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib berkata, pengiktirafan berprestij itu menunjukkan keyakinan dunia terhadap usaha Sarawak dalam memperkukuh kerjasama ekonomi serta membangunkan teknologi masa hadapan, khususnya dalam bidang tenaga baharu.
“Ini bukan sahaja membanggakan rakyat Sarawak, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda dan para pelajar universiti untuk terus menyokong usaha kerajaan negeri mencapai status negeri maju menjelang 2030,” ujarnya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Khamis.
Beliau menambah, UNIMAS sentiasa mendukung hasrat kerajaan negeri melalui tiga teras utama iaitu pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti, kekuatan teknologi maklumat dan komunikasi, serta penglibatan komuniti ke arah perubahan mampan.
“Kejayaan Premier yang juga Pro-Canselor UNIMAS ini akan kami jadikan sebagai aspirasi untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada kemajuan negeri,” katanya lagi.
Sementara itu, Juruteknologi Makmal Perubatan UNIMAS, Alexander Timothy Daud turut meluahkan rasa bangga atas pengiktirafan tersebut yang menurutnya mencerminkan kualiti kepimpinan Premier Sarawak yang diiktiraf oleh dunia luar.
“Ini menandakan pihak luar mengiktiraf kaliber kepimpinan Premier Sarawak dan meletakkan harapan tinggi agar Sarawak terus dikenali di mata dunia,” katanya.
Seorang lagi warga UNIMAS, Whilemena Upam Herman Ulok menyifatkan Premier Sarawak sebagai seorang pemimpin berprofil tinggi yang berjaya membawa pelbagai kemajuan ketara dalam tempoh kurang daripada sedekad memimpin negeri.
“Saya sangat bersyukur kerana Sarawak mempunyai pemimpin berwawasan seperti Premier Sarawak yang sentiasa mengutamakan kemajuan rakyat dan negeri,” ujarnya.
Pengiktirafan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star yang diterima Premier Sarawak pada Selasa lepas merupakan antara anugerah tertinggi kerajaan Jepun kepada tokoh luar negara yang banyak menyumbang kepada hubungan dua hala dan pembangunan antarabangsa. –EDISI UKAS