15 Penerima Di Padawan Terima Dana MRP Fasa 4/2025 Bernilai RM377,000
PADAWAN: Seramai 15 orang penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kelab dan pertubuhan gereja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan jumlah keseluruhan RM377,000.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, penyampaian cek cura ini adalah simbolik bagi memaklumkan kepada pihak Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) bahawa proses penyerahan rasmi telah dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa walaupun permohonan dana adalah bagi tahun 2025, pemohon yang masih belum menerima akan disalurkan pada awal tahun 2026.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong menegaskan agar para penerima dapat menggunakan dana dengan berhemah dan penuh tanggungjawab bagi memastikan manfaat optimum kepada komuniti setempat.
Antara yang menerima, JKKK Kampung Gunda Jawa, JKKK Kampung Emperoh Jambu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Paul Bunuk, Kelab Belia Kampung Annah Rais, Saint Agustine Church Mission District Mambong, JKKK Kampung Bratan, Kelab Bola Keranjang Siburan, Jawatankuasa KMKK Kawasan Biperoh Penrissen, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Penrissen serta beberapa komuniti yang lain.
Tambah beliau lagi, penyerahan cek cura ini adalah untuk memastikan setiap dana pembangunan diagihkan secara telus, teratur dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasai Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap. -EDISI UKAS