Sambutan Hari Keputeraan Agong Di Betong Dekatkan Rakyat Dengan Institusi Diraja
KUCHING: Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2026 di Betong bukan sekadar acara rasmi tahunan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh penghayatan rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan dan semangat patriotisme.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, penganjuran sambutan peringkat negeri itu memberi peluang kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar untuk lebih memahami peranan institusi diraja negara melalui pelbagai pengisian menarik dan bersifat mendidik.
Menurut beliau, pemilihan Betong sebagai tuan rumah juga membolehkan masyarakat setempat merasai sendiri kemeriahan sambutan berskala negeri yang sebelum ini lebih banyak diadakan di bandar utama.
“Betong dipilih kerana kita mahu masyarakat di kawasan luar bandar turut merasai kemeriahan sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan memahami sistem institusi diraja negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Juh Randau UKAS berkenaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2026 pada Khamis.
Dato Sri John menambah, pelbagai program telah disusun sepanjang sambutan tersebut termasuk Betong Kitchen, Pameran Raja Kita, majlis kesyukuran pelbagai agama, jamuan teh dan Konsert Rakyat.
“Melalui pameran ini, rakyat khususnya generasi muda dapat memahami sejarah dan sistem institusi diraja di negara kita,” katanya.
Katanya, Betong Kitchen yang menghimpunkan 26 gerai makanan tempatan dijangka menjadi antara tarikan utama sambutan selain membuka peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan sepanjang program berlangsung.
Selain itu, Pameran Raja Kita yang berlangsung dari 11 hingga 14 Jun dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung termasuk pelajar sekolah bagi memberi pendedahan berkaitan sejarah dan institusi diraja negara.
Sementara itu, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas berkata, pelbagai persiapan telah dilaksanakan bagi memastikan kelancaran sambutan tersebut termasuk aspek logistik, keselamatan dan kebersihan.
Menurut beliau, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti tempatan menjadi kekuatan utama dalam menjayakan sambutan berskala negeri berkenaan.
“Peluang seperti ini juga dapat membantu peniaga kecil dan pengusaha tempatan menjana pendapatan serta memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung,” katanya.
Dalam pada itu, Konsert Rakyat yang dijadual berlangsung pada 14 Jun dijangka menjadi kemuncak sambutan dengan pelbagai persembahan artis tempatan selain pertunjukan bunga api bagi memeriahkan suasana.
Penganjuran sambutan tersebut bukan sahaja menjadi simbol penghormatan kepada institusi diraja, malah dijangka terus memperkukuh semangat patriotisme, perpaduan dan kebersamaan rakyat Sarawak menerusi penglibatan pelbagai lapisan masyarakat sepanjang program berlangsung.-EDISI UKAS