Penubuhan PKML Perkukuh Identiti Dan Pembangunan Komuniti Kelabit Di Limbang
LIMBANG: Penubuhan Persatuan Kelabit Meri’it Limbang (PKML) menjadi langkah penting dalam memperkukuh perpaduan, identiti budaya serta pembangunan komuniti Kelabit Meri’it di Bahagian Limbang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata walaupun jumlah masyarakat Kelabit tidak besar, komuniti tersebut terus memainkan peranan signifikan dalam pembangunan Sarawak.
Menurut beliau, masyarakat Kelabit terkenal dengan adat resam, nilai murni, budaya sopan santun serta semangat kekitaan yang tinggi selain memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, perkhidmatan awam, keagamaan, kebudayaan dan kepimpinan masyarakat.
“Walaupun jumlah masyarakat Kelabit tidak besar, namun sumbangan komuniti ini kepada pembangunan Sarawak amat signifikan khususnya dalam bidang pendidikan, perkhidmatan awam, keagamaan, kebudayaan dan kepimpinan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penubuhan Persatuan Kelabit Meri’it Limbang (PKML) di Limbang pada Rabu.
Datuk Gerawat menambah persatuan seperti PKML memainkan peranan penting dalam memastikan komuniti tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
Katanya, PKML turut berfungsi sebagai jambatan penghubung antara komuniti dengan agensi kerajaan serta peluang pembangunan yang disediakan kepada masyarakat.
Selain memperkukuh perpaduan komuniti, beliau berkata penubuhan persatuan tersebut turut mencerminkan komitmen masyarakat Kelabit Meri’it dalam memelihara warisan, adat dan budaya agar terus diwarisi generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau berharap generasi muda Kelabit Meri’it terus berani meneroka bidang baharu selaras dengan aspirasi Sarawak menuju ekonomi digital dan negeri maju menjelang 2030.
Turut hadir Presiden Rurum Kelabit, Dato Isaac Lugun. – EDISI UKAS