Sarawak Diiktiraf Model Perpaduan Masyarakat Majmuk Negara
MIRI: Sarawak terus diiktiraf sebagai contoh terbaik perpaduan kaum dan keharmonian agama di negara ini hasil semangat saling menghormati serta budaya kebersamaan yang diamalkan masyarakat pelbagai kaum sejak sekian lama.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata keharmonian yang dinikmati rakyat Sarawak hari ini menjadi kekuatan utama negeri dalam memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat terus diperkasakan.
Menurut beliau, semangat perpaduan tersebut jelas dapat dilihat menerusi penganjuran Program Korban Masjid Abu Bakar As-Siddiq (MABAS) 2026 yang menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana penuh harmoni dan muafakat.
“Tahun ini saya difahamkan sebanyak 10 ekor lembu termasuk kerbau dikorbankan dan daging korban diagihkan kepada umat Islam di kawasan Senadin dan sekitarnya,” katanya ketika menghadiri Program Korban MABAS 2026 di Masjid Abu Bakar As-Siddiq (MABAS), Desa Senadin pada Rabu.
Beliau berkata program korban yang dianjurkan setiap tahun itu bukan sahaja mencerminkan semangat gotong-royong dan budaya saling membantu, malah menjadi platform memperkukuh hubungan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
Menurut beliau, pengiktirafan terhadap keharmonian Sarawak turut terserlah apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dipilih sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bagi penggal 2025 hingga 2028.
“Ini jelas menunjukkan pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau serta peranan Sarawak dalam memupuk keharmonian masyarakat majmuk,” katanya.
Tambah beliau, semangat perpaduan rakyat Sarawak turut dapat dilihat menerusi pelbagai sambutan perayaan dan program kemasyarakatan yang diraikan bersama tanpa mengira kaum dan agama.
“Sebagai contoh, ketika sambutan Hari Sarawak, masyarakat pelbagai kaum dan agama berkumpul dalam satu majlis untuk mengadakan doa bersama bagi kesejahteraan dan kemakmuran Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap rakyat terus mengekalkan semangat perpaduan dan keharmonian demi memastikan Sarawak terus maju, aman dan makmur selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
-EDISI UKAS