Kejohanan Wushu Bahagian Mukah Platform Cungkil Bakat Atlet Muda
DALAT: Kejohanan Wushu Bahagian Mukah 2026 terus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat atlet muda serta memperkukuh pembangunan sukan wushu di Bahagian Mukah 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kejohanan yang melibatkan 98 peserta dari Dalat, Oya, Mukah dan Balingian itu mempertandingkan sebanyak 106 acara Wushu Taolu dan Wushu Sanda.
"Pencapaian atlet tempatan turut membanggakan apabila tiga atlet dari Dalat terpilih mewakili Sarawak ke temasya SUKMA Selangor 2026.
"Perkembangan positif sukan ini turut terserlah menerusi Kelab Wushu Dalat yang ditubuhkan pada April 2022 dengan hanya empat ahli sebelum berkembang kepada hampir 150 ahli hasil komitmen pengurusan, jurulatih dan sokongan ibu bapa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kejohanan Wushu Bahagian Mukah 2026, di Stadium Perpaduan Dalat, pada Selasa.
Dato Sri Fatimah berkata, wushu bukan sekadar seni mempertahankan diri, malah mampu membentuk disiplin, keseimbangan mental dan fizikal, semangat juang serta nilai hormat-menghormati dalam kalangan atlet.
Tambahnya, kejohanan seperti ini bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat sukan akar umbi, malah berperanan sebagai platform perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya.
Beliau turut menyeru ibu bapa agar terus memberi sokongan kepada penglibatan anak-anak dalam sukan demi pembentukan sahsiah, kepimpinan dan masa depan yang lebih cemerlang.-EDISI UKAS