JTPIL Terus Perkukuh Ukhuwah Dan Perpaduan Masyarakat Islam Di Limbang
LIMBANG: Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Limbang (JTPIL) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ukhuwah dan perpaduan masyarakat Islam di daerah ini menerusi pelaksanaan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan secara berterusan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata Program Ibadah Korban anjuran JTPIL yang diadakan setiap tahun menjadi antara platform penting dalam menyemai semangat kebersamaan, nilai murni dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, program tersebut dilaksanakan secara bergilir mengikut mukim dan tahun ini Mukim Gadong dipilih sebagai tuan rumah.
“Program Ibadah Korban JTPIL ini merupakan salah satu program tetap tahunan yang dilaksanakan secara bergilir-gilir mengikut mukim dan alhamdulillah tahun ini Mukim Gadong terpilih sebagai tuan rumah,” katanya ketika berucap pada Program Ibadah Korban JTPIL di Masjid Darul Muttaqin, Kampung Gadong pada Rabu.
Beliau berkata sebanyak empat ekor kerbau telah dikorbankan dalam program tersebut sebelum diagihkan kepada golongan yang memerlukan termasuk asnaf di kawasan berkenaan.
Tambah beliau, selain Program Korban, JTPIL turut melaksanakan pelbagai program lain sepanjang tahun termasuk Program Badudun Ramadan, Sambutan Maal Hijrah, Seminar Wanita, Seminar Kewangan Islam, Festival Kesenian Islam dan Ceramah Perdana.
Katanya, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, malah membantu memperkukuh pembangunan sahsiah serta nilai murni dalam kalangan masyarakat Islam.
“Saya berharap usaha kita ini akan diberkati oleh Allah SWT dan saya menyeru umat Islam agar terus memperkukuh perpaduan serta mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan keseimbangan antara pembangunan kehidupan dan pembentukan sahsiah diri agar masyarakat dapat terus maju secara menyeluruh.
Beliau berharap masyarakat akan terus mengimarahkan masjid dan surau di kawasan masing-masing supaya institusi tersebut kekal berperanan sebagai pusat komuniti dan aktiviti kemasyarakatan.
Pada majlis tersebut, seramai 31 asnaf dari Mukim Gadong menerima agihan daging korban dan akikah yang disampaikan oleh beliau.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Limbang Hadiana Simatzaman, wakil Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Mohd Fathulnaim Junaidi, Penghulu Dulahpi Bakar, Ketua Kampung Gadong Mohamad Faizul Ismail serta Pengerusi Masjid Darul Muttaqin Kampung Gadong Nor Azman Sahat.-EDISI UKAS