SADA Kendalikan 12 Projek Bernilai RM164.7 Juta Di Sri Aman
SRI AMAN: Jawatankuasa Pembangunan Sosial Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) kini mengendalikan sebanyak 12 projek pembangunan dalam kawasan pentadbirannya dengan nilai keseluruhan berjumlah RM164,725,000.
Perkara tersebut diumumkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sosial SADA yang dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor di Wisma SADA pada Jumaat.
Daripada 12 projek tersebut, 10 merupakan projek fizikal, manakala dua lagi melibatkan projek bukan fizikal.
Salah satu daripada 12 projek berkenaan iaitu pengubahsuaian Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) Sri Aman dekat bandar ini telah siap dilaksana dengan kos sebanyak RM3.5 juta.
Manakala, 10 lagi projek masih dalam status dalam perancangan dengan empat daripadanya adalah adalah Kompleks Sukan Lingga (RM20 juta), cadangan pembinaan 'Landing Ramp' (RM5 juta) di Simanggang, cadangan Pusat Komuniti Rehat dan Rawat (RM25 juta) dan pembinaan Dewan Simposium Batang Lupar (RM45 juta).
Seterusnya, empat lagi projek adalah menaik taraf Dewan Bedah 3, Bina Baru Blok Psikiatri dan Blok Klinik Pakar Hospital Sri Aman II (RM30 juta), Pusat Sokongan Sosial Komuniti Sri Aman Fasa 1 (RM3 juta), penilaian pengambilan tanah dan reka bentuk Pusat Pentadbiran Pantu (RM5 juta) dan penilaian pengambilan tanah Pusat Pentadbiran Lingga baharu serta pembinaan Kuaters Kerajaan Negeri Lingga (RM2.7 juta).
Dua lagi projek adalah Pusat Khidmat Batu Lintang (RM15 juta) dan cadangan pembinaan Dewan Komuniti Serbaguna di Rumah Patricia, Seduku Panjai, Lingga (RM9.9 juta) dengan cadangan pembinaan satu unit Papan Iklan Digital Sri Aman (RM600,000) berada dalam status masih belum dilaksana.-EDISI UKAS