Projek Pendalaman Sungai Baram Capai 40 Peratus Siap, Disasar Siap Oktober 2026
MIRI: Projek pendalaman Sungai Baram bernilai RM208.9 juta terus mencatat perkembangan positif apabila kini mencapai kira-kira 40 peratus siap dengan sasaran penyiapannya dipercepatkan ke Oktober 2026.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, walaupun kontrak asal menetapkan tarikh siap pada Mac 2027, kerajaan telah meminta pihak pelaksana menyusun semula jadual kerja bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.
“Saya yakin sasaran ini boleh dicapai kerana tempoh cuaca kering memudahkan pelaksanaan fasa kerja utama di lapangan,” katanya dalam taklimat ringkas semasa lawatan tapak projek berkenaan pada Jumaat.
Datuk Amar Douglas Uggah menambah, selain kerja pendalaman laluan Sungai Baram, projek ini turut membawa manfaat tambahan melalui pembentukan kawasan tanah timbul secara semula jadi di kedua-dua sisi sungai, khususnya di bahagian kanan.
Beliau menjelaskan bahawa kawasan penambakan semula jadi yang terbentuk kini mencecah hampir 4.8 kilometer, sekali gus menunjukkan kesan positif daripada pembinaan training bund yang sedang dijalankan.
Projek berimpak tinggi ini dijangka meningkatkan keselamatan pelayaran, melancarkan akses kapal ke Pelabuhan Miri, serta menyediakan asas penting bagi pengembangan operasi pelabuhan pada masa depan.
Lawatan tapak tersebut turut dihadiri Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II (Pembangunan Pelabuhan), Datuk Majang Renggi, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri, Dato Paulus Palu Gumbang, Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris serta pegawai agensi berkaitan.- EDISI UKAS