Dokumentari 'Khas ASPIRASI’, Angkat Legasi Tun Pehin Sri Wan Junaidi Dilancarkan
KUCHING: Dokumentari khas ‘ASPIRASI’ yang mengangkat perjalanan hidup, kepimpinan serta jasa Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, dilancarkan secara rasmi di Astana Negeri Sarawak pada Jumaat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dokumentari terbitan Astana Negeri Sarawak itu bukan sahaja merakamkan biodata rasmi seorang negarawan, tetapi turut menelusuri sisi peribadi, perjuangan dan pengorbanan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dalam membangunkan negeri.
Menurutnya, ‘ASPIRASI’ berfungsi sebagai “jambatan emas sejarah” yang membolehkan generasi Y, Z dan generasi akan datang memahami peranan signifikan institusi Yang di-Pertua Negeri dalam kerangka Perlembagaan Negeri.
Beliau menegaskan bahawa dokumentari ini menonjolkan semangat jitu dan aspirasi tinggi Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dalam memastikan kemajuan, perpaduan serta keharmonian pelbagai kaum di Sarawak terus terpelihara.
“Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi adalah cerminan nilai terbaik anak Sarawak, kesabaran seorang negarawan, kebijaksanaan seorang pemimpin dan semangat perpaduan yang tidak berbelah bahagi,” katanya ketika merasmikan peluncuran dokumentari berkenaan.
Dato Sri Fatimah menambah, dokumentari ini turut memaparkan momen penting ketika Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menggunakan kedudukan mulianya sebagai Payung Teduh kepada semua kaum dan agama di negeri ini.
Dokumentari khas berdurasi 12 minit itu akan ditayangkan di laman rasmi Facebook dan YouTube Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mulai hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie, serta Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini.- EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Clevelance Sam