Sarawak Sambut Penerbangan Sulung 9Air Haikou-Kuching
KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) menyambut ketibaan penerbangan berjadual charter sulung 9Air dari Haikou ke Kuching, menandakan satu lagi perkembangan penting dalam memperluaskan hubungan udara antara Sarawak dan China.
Penerbangan AQ1295 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching jam 5.10 pagi pada Sabtu dengan membawa kumpulan pertama pelancong, termasuk tetamu khas iaitu Pembantu kepada Presiden 9Air dan Pengurus Besar Rangkaian Laluan, Cai Xing.
Perkhidmatan Haikou–Kuching ini beroperasi dua kali seminggu mengikut jadual berkitar dan merupakan destinasi kedua 9Air di Malaysia selepas Kuala Lumpur.
Jadual ini membolehkan pelancong menikmati pilihan perjalanan yang lebih fleksibel dan konsisten.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, menyambut ketibaan Cai Xing di lapangan terbang dan mengadakan sesi libat urus ringkas.
Dalam perbincangan itu, Dato Sri Lee menzahirkan penghargaan atas minat 9Air yang semakin meningkat terhadap Sarawak dan menggalakkan syarikat penerbangan itu mempertimbangkan pengembangan laluan terus dari Guangzhou dan Shenzhen ke Kuching.
"Kedua-dua kota tersebut mempunyai hubungan ekonomi dan pelancongan yang kukuh dengan Sarawak, dan hubungan terus akan meningkatkan pertukaran perniagaan, aliran pelaburan serta hubungan antara rakyat," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Dato Sri Lee turut menggesa 9Air menilai potensi memperkenalkan penerbangan terus ke Miri yang menjadi Gerbang Utara Sarawak dan jiran Brunei, serta jarak geografi yang dekat dengan Guangzhou dan Shenzhen dengan tempoh penerbangan sekitar tiga jam.
Jelasnya, Miri sedang mengalami pertumbuhan pesat, termasuk cadangan penubuhan kampus cawangan Universiti Fudan Shanghai dan Institut Penyelidikan Perubatan Integratif, yang dijangka merancakkan aktiviti akademik, komersial dan perjalanan antarabangsa.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee memberitahu, Sarawak dijangka menerima beberapa lagi penerbangan charter dari China bulan depan, menandakan trend positif minat meningkat dari pasaran China.
"Saya berharap momentum ini membawa kepada lebih banyak laluan terus antara Sarawak dan bandar-bandar lain di China," jelasnya. -EDISI UKAS