SMK Bakun, SMK Belaga Perintis Program Pertanian Pintar Sarawak Energy
BELAGA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun dan SMK Belaga dipilih sebagai sekolah perintis bagi pelaksanaan Program Pertanian Pintar Inisiatif Sarawak Energy yang dilihat mampu menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan dan pertanian moden di kawasan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedey Chukpai Ugon berkata, program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai teknologi pertanian pintar, malah membuka peluang baharu kepada masyarakat luar bandar untuk meningkatkan taraf hidup menerusi pendekatan pertanian moden, cekap dan mampan.
Menurut beliau, pelaksanaan program itu membuktikan bahawa transformasi digital boleh bermula di peringkat sekolah termasuk di kawasan pedalaman melalui penggunaan teknologi moden seperti Internet of Things (IoT), automasi dan sistem pertanian pintar.
“Program ini direka untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang amalan pertanian pintar yang moden dan selamat, di samping memperkenalkan teknologi loT serta kemahiran asas keusahawanan.
“Program pertanian pintar ini juga memberi nilai tambah yang besar kepada pihak sekolah dan para guru kerana ia menyediakan satu platform pembelajaran praktikal yang relevan, menarik dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.
“Guru-guru pula dibantu dengan penggunaan peralatan moden yang dapat memperkukuhkan keadah pengajaran dan membantu pelajar menghubungkan teori pembelajaran dengan apikasi dunia sebenar.,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program Pertanian Pintar Inisiatif Perintis Sarawak Energy di Dewan SMK Bakun, Sg. Asap, Belaga pada Jumaat.
Kennedy turut berkata, inisiatif tersebut selari dengan cadangan penubuhan Smart Agriculture Transformation Centre (SATC) di kawasan Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap yang diusulkannya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini bagi memperkasa pembangunan pertanian pintar berasaskan komuniti.
Menurutnya, SATC bakal menjadi pusat latihan pertanian moden melibatkan teknologi pintar, rumah hijau komuniti serta sistem pengeluaran dan pemasaran tersusun yang memberi fokus kepada penglibatan golongan belia dan komuniti luar bandar.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, pelaksanaan Projek Sungai Asap Digital Village (SADV) bernilai RM36 juta oleh Kerajaan Sarawak akan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi digital dan teknologi pertanian pintar di kawasan pedalaman.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Thomas Balan Bang Timbalan Residen Bahagian Kapit Robert Liman Deli, serta Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power, Sarawak Energy Ir. Bunyak Lunyong.-EDISI UKAS