KMKK Terus Jadi Penghubung Kerajaan & Rakyat Dalam Agenda Pembangunan Sarawak
BINTULU: Institusi Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) terus diiktiraf sebagai 'tulang belakang' pentadbiran masyarakat apabila memainkan peranan penting sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, KMKK bukan sahaja berperanan mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat, malah menjadi medium penting dalam menyampaikan maklumat serta dasar kerajaan kepada rakyat secara berkesan.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan golongan tersebut termasuk menerusi peningkatan elaun bagi memperkasakan peranan mereka selaras dengan pertumbuhan ekonomi Sarawak yang semakin kukuh.
“Ketua masyarakat mempunyai peranannya tersendiri. Sebab itu kita memperkukuhkan peranan mereka dan elaun juga telah dinaikkan.
“Ketua masyarakat kini menerima RM1,300 manakala penghulu, pemanca dan temenggong turut menerima kenaikan elaun,” katanya ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Bintulu 2026 pada Jumaat.
Tambah beliau, kedudukan ekonomi Sarawak yang semakin teguh membolehkan kerajaan negeri meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan serta penghargaan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk KMKK.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai menegaskan KMKK bukan sekadar pemimpin masyarakat, sebaliknya merupakan barisan hadapan yang memainkan peranan besar dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.
Menurut beliau, golongan tersebut bukan sahaja menjadi penyampai dasar kerajaan, malah turut menjadi suara masyarakat dalam menyampaikan pandangan, cabaran serta keperluan rakyat kepada kerajaan.
“Ketua rumah, ketua kampung, kapitan, penghulu dan ketua masyarakat merupakan individu paling dekat dengan rakyat serta menjadi penghubung penting dalam memastikan penyampaian maklumat dan aspirasi kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Mereka juga memainkan peranan besar dalam penyelesaian konflik masyarakat, menggerakkan program komuniti serta menjadi barisan hadapan ketika berlaku bencana dan situasi krisis,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelantikan tiga orang temenggong yang mewakili kaum Cina, Melayu dan Iban memperlihatkan komitmen jelas kerajaan Sarawak dalam membentuk struktur kepimpinan masyarakat yang lebih inklusif, seimbang serta mencerminkan kepelbagaian rakyat negeri ini.
Jelasnya, pendekatan tersebut bukan sahaja memperkukuh institusi KMKK, malah menjadi gambaran kekuatan Sarawak yang dibina atas asas perpaduan pelbagai kaum, agama dan latar budaya.
“Pembangunan sebenar bukan sekadar diukur melalui kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya sejauh mana rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, selesa dan sejahtera bersama keluarga serta komuniti masing-masing,” tambah beliau.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, ketua-ketua jabatan serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Ameerul Syafiq