Bintulu Bakal Jadi Bandar Pertama Sarawak Miliki Sistem Kereta Api
BINTULU: Bintulu bakal muncul sebagai bandar pertama di Sarawak yang memiliki sistem kereta api menerusi cadangan pembangunan Pan Railway Bintulu melibatkan laluan Kidurong hingga Samalaju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang pembangunan Bintulu yang turut diselaraskan dengan cadangan rangkaian Pan Railway Borneo pada masa hadapan.
“Saya sudah berunding dengan Kerajaan Persekutuan dan kita mula merancang Pan Railway Bintulu dari Kidurong hingga Samalaju.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada kerajaan pusat dan jika tidak dapat dibiayai sepenuhnya, kita akan laksanakan melalui kaedah usaha sama.
“Jadi Bintulu akan menjadi bandar pertama di Sarawak yang mempunyai kereta api dan ini akan menjadi sebahagian daripada Pan Railway dalam Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Bintulu 2026 di sini pada Jumaat.
Sementara itu jelas beliau, pembangunan pesat yang dikecapi Bintulu hari ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kestabilan politik, perpaduan masyarakat serta kerjasama erat pelbagai kaum yang menjadi asas kepada kemajuan kawasan itu sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Tambah beliau, semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat amat penting dalam memastikan agenda pembangunan serta transformasi ekonomi Bintulu dapat terus dilaksanakan dengan lancar.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Ameerul Syafiq