Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Perkukuh Semangat Kebajikan, Perpaduan
MERADONG: Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Tahun 2026 Bahagian Sarikei menjadi platform penting dalam menyantuni golongan memerlukan di samping memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Majlis anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei yang berlangsung di Dewan Masyarakat Bintangor pada Jumaat itu diadakan dalam suasana penuh meriah sempena sambutan Hari Gawai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program sedemikian mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban penerima, malah memberi kegembiraan dan semangat kepada mereka untuk menyambut Hari Gawai dengan lebih bermakna bersama keluarga dan komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak serta Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei atas komitmen dan usaha menjayakan program berkenaan.
Menurut beliau, pemilihan Daerah Meradong sebagai salah satu lokasi penganjuran tahun ini amat signifikan dalam memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Datuk Ding menzahirkan komitmen untuk terus menyokong pelbagai inisiatif kebajikan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) demi memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa.
Sementara itu, beliau berkata sambutan Hari Gawai bukan sahaja sebuah perayaan, malah merupakan warisan budaya masyarakat Dayak yang kaya dengan adat istiadat, nilai kekeluargaan dan semangat perpaduan yang perlu terus dipelihara dan dihargai oleh generasi muda.
Katanya lagi, sambutan tersebut juga menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuhkan perpaduan serta memupuk semangat hormat-menghormati antara masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.-EDISI UKAS