Upacara Miring Semarak Sambutan Pra Gawai Bahagian Betong
BETONG: Upacara miring terus menjadi tradisi penting masyarakat Iban di Betong daam menyambut kedatangan Hari Gawai sebagai simbol kesyukurab, kesejahteraan dan keharmonian komuniti.
Kali ini, upacara tersebut diadakan menjelang Majlis Makan Malam Pra Gawai Peringkat Bahagian Betong Tahun 2026 pada malam 23 Mei ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu hadir ke upacara itu yang diadakan di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan pada Jumaat.
Penganjuran upacara oleh Pejabat Daerah Betong dengan kerjasama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Betong itu bertujuan untuk memohon perlindungan dan kesejahteraan sepanjang Karnival Gawai Peringkat Bahagian Betong yang berlangsung dari 2 Mei sehingga 4 Julai iaitu acara tahunan yang menjadi lambang keharmonian komuniti Iban di Bahagian Betong.
Upacara miring merupakan salah satu ritual tradisi terpenting dalam kebudayaan masyarakat Iban di Sarawak dan lazimnya diadakan bagi memohon keberkatan agar masyarakat Iban diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan.
Upacara miring yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang masyarakat setempat ini telah dilakukan oleh Lembambang Empading.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Pertanian Bahagian Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Karnival Gawai Peringkat Bahagian Betong Tahun 2026 Leo Toni serta Pegawai Daerah Betong Laga Kueh.-EDISI UKAS