MERADONG: Perarakan Tanglung dan Kereta Berhias anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong menjadi platform memupuk kreativiti pelajar, mengangkat seni budaya tempatan serta mengeratkan kerjasama antara komuniti setempat.
Program tahunan itu dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama isteri Datin Kueh Nai Fun yang menyerikan lagi suasana dan memberi semangat kepada para peserta untuk menonjolkan hasil kreativiti mereka.
Datuk Ding menegaskan bahawa penganjuran berterusan acara sebegini bukan sahaja memupuk semangat perpaduan tetapi juga membantu membentuk generasi muda yang kreatif, yakin diri, dan berdaya saing.
Program berkenaan menyaksikan penyertaan meluas daripada jabatan kerajaan, kelab dan persatuan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta sekolah-sekolah sekitar Meradong yang mempamerkan kepelbagaian kreativiti melalui tanglung dan kereta berhias bertemakan pendidikan, budaya dan nilai murni.
Acara malam itu berakhir dengan sesi penilaian bagi memilih tanglung dan kereta berhias paling kreatif, diikuti penyampaian penghargaan kepada peserta.-EDISI UKAS