Festival Kesenian Islam Limbang 2025 Angkat Seni Islam, Kukuhkan Ukhwah Masyarakat
LIMBANG: Festival Kesenian Islam (FKI) Limbang 2025 melabuhkan tirainya pada Ahad, selepas tiga hari penganjuran yang meriah dan penuh pengisian kerohanian.
Majlis penutupan festival itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.
Festival berkenaan berjaya menarik kehadiran hampir 700 orang, sekali gus mencerminkan minat dan sokongan tinggi masyarakat terhadap seni berteraskan Islam.
Dalam ucapannya, Datuk Dr. Abdul Rahman menegaskan bahawa FKI bukan sekadar platform persembahan seni, sebaliknya wadah menyemai nilai akhlak mulia melalui aktiviti seperti nasyid, qasidah, zikir marhaban, puisi dan memanah.
“Festival ini memberi peluang kepada masyarakat berkumpul dalam suasana harmoni dan mengenali keindahan budaya Islam yang merapatkan ukhwah. Seni menjadi jambatan penyatuan ummah dalam dunia moden yang pantas,” katanya.
Beliau berkata, seni memiliki kekuatan universal yang dekat dengan jiwa generasi muda, sekaligus memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi berakhlak dan berdaya saing.
Menurut beliau, penganjuran FKI membuka ruang kepada bakat-bakat baru diketengahkan dalam suasana yang positif dan mendidik.
“Platform seperti FKI mampu melahirkan bakat bukan sahaja berketerampilan, tetapi memiliki akhlak dan jiwa besar, selaras dengan pembangunan insan secara menyeluruh,” jelasnya.
Datuk Dr. Abdul Rahman turut menyatakan harapan agar festival ini diteruskan sebagai acara tahunan yang lebih besar dan berimpak tinggi, malah berpotensi diperluas ke peringkat negeri atau kebangsaan pada masa depan.
Sebelum majlis penangguhan, beliau turut melawat reruai pameran yang menampilkan pelbagai elemen seni dan budaya Islam.
Majlis penutup turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah, cabutan bertuah, serta sesi bergambar sebagai simbolik tirai penutup bagi FKI 2025.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah isteri Datuk Dr. Abdul Rahman, Datin Dayang Maimunah Awang Muhammad Daud, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal; Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang, Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely; serta Timbalan Pengerusi PERKIM Limbang, Dayang Zaleha Jahar.-EDISI UKAS