Sarawak Perkukuh Peranan Sungai Sebagai Nadi Pembangunan Lestari
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh peranan sungai sebagai pemangkin pembangunan wilayah, penggerak ekonomi dan kesinambungan warisan masyarakat setempat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, negeri ini memiliki 40 sungai utama yang merangkumi kawasan seluas 123,987.5 kilometer persegi, sekali gus menjadikan rangkaian sungai sebagai elemen penting dalam perdagangan, pengangkutan, tenaga dan hubungan budaya.
“Sungai bukan sekadar ciri fizikal, ia mengalir melalui sejarah, budaya dan identiti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Sarawak Rivers Day Conference 2025 di sini pada Ahad.
Sehubungan itu jelasnya, pelbagai inisiatif pemodenan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan pengangkutan sungai, termasuk pelaksanaan Grab Sampan PoC, peluasan Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) dan pemberian subsidi RON95 kepada pengusaha bot penumpang.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan pentingnya kerjasama erat antara kerajaan, industri dan komuniti bagi memastikan sungai terus menjadi “Waterways of Life” untuk generasi mendatang.
Menurutnya, komitmen komuniti tempatan turut diiktiraf melalui kejayaan Kampung Pesang, Padawan dalam Pertandingan Kebersihan Sungai, manakala Sarawak Energy Berhad menerima pengiktirafan antarabangsa dalam bidang hidroelektrik lestari.
Beliau menambah bahawa pelaksanaan pelan strategik Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kelak akan terus memperkukuh sektor pengangkutan maritim dan sungai, selaras dengan visi Sarawak ke arah pembangunan mampan dan berdaya tahan.-EDISI UKAS