KUCHING: Pendidikan Sarawak terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan utama tahun 2024.
Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin memaklumkan bahawa keputusan SPM 2024 mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.84, iaitu peningkatan 0.08 berbanding tahun sebelumnya.
“Kita juga berbangga dengan pencapaian pendidikan negeri tahun lalu di mana SPM 2024 mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.84, peningkatan 0.08 berbanding tahun sebelumnya.
"Manakala, STPM 2024 merekodkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.68 dengan 92 calon memperoleh PNGK 4.00 dan 12 sekolah mencapai PNGK melebihi 3.00,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penyampaian AKPS 2025 di sini pada Isnin yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Datu Mohamad Junaidi menambah, peningkatan keputusan peperiksaan ini membuktikan usaha berterusan kerajaan dan Yayasan Sarawak dalam memperkukuh sistem pendidikan negeri, termasuk melalui program jangkauan pendidikan bagi memastikan anak-anak luar bandar tidak tercicir akibat faktor geografi atau sosioekonomi.
Dalam menghargai kecemerlangan pendidikan, Yayasan Sarawak melalui Anugerah Khas YAB Premier Sarawak (AKPS) mengiktiraf pelajar, pendidik, pemimpin dan sekolah yang menunjukkan prestasi terbaik sepanjang tahun 2024.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Shahril Haqim Hamka