KUCHING: Sesi pertemuan persatuan sukan, pengurus pasukan, pegawai pembangunan sukan dan jurulatih bersama Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu diteruskan lagi pada Rabu bagi memperhalusi persiapan kontinjen SUKMA Sarawak.
Pertemuan diadakan di Waterfront Hotel itu merumuskan beberapa perkara yang menyaksikan semua persatuan membentangkan persiapan serta sasaran pingat masing-masing.
Fokus perbincangan terhala ke arah penerangan mengenai maklumat terkini SUKMA XXI Selangor 2026, persediaan Kontinjen Sarawak serta cabaran yang bakal dihadapi.
SUKMA Ke-22 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini di beberapa daerah di Selangor di mana perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang manakala penutupan berlangsung di Stadium MPBJ.
Ia akan mempertandingkan sebanyak 37 jenis sukan membabitkan 469 acara.
Kontinjen Sarawak bagaimanapun memutuskan tidak akan mengambil bahagian dalam acara bola sepak wanita dan sofbol wanita.
Dalam pada itu, majlis Kiraan Detik 100 Hari (Countdown 100 Days)
SUKMA Ke-22 akan diadakan pada 7 Mei depan.
Ia akan disusuli dengan kem kontinjen dari 9 hingga 12 Ogos, manakala majlis penyerahan bendera akan diadakan pada 10 Ogos sebelum kontinjen berlepas ke Selangor.
Tidak dinafikan, cabaran kali ini pasti sukar, lebih-lebih lagi dari kontinjen tuan rumah, Selangor yang pastinya mahu memanfaatkan peluang beraksi di bumi sendiri untuk merangkul kejuaraan.
Namun Sarawak dengan berbekalkan slogan keramat ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ berikrar akan berjuang habis-habisan demi mempertahankan reputasinya selaku juara bertahan. -EDISI UKAS