SIMANGGANG: Rakyat diseru agar membantu memastikan suasana politik di negeri ini kekal stabil demi memudahkan Kerajaan Sarawak menggubal polisi pembangunan untuk manfaat mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata, kestabilan politik amat penting kerana ia menjadi asas kepada pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang kerajaan.
“Apabila suasana politik stabil, kerajaan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menggubal dasar dan melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Lagipun, sokongan rakyat terhadap kita akan dapat mempercepatkan proses pembangunan khususnya dalam bidang pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat yang menjadi teras kemajuan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ringkas pada sesi lawatan tapak projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan negeri (ADUN) Simanggang di Runah Duman Gunggang, Kampung Sri Kejatau, di sini, baru-baru ini.
Selain itu, Datuk Francis juga menekankan pentingnya kaedah penyaluran pembangunan secara fizikal melalui projek RTP oleh Kerajaan Sarawak bagi membiaya projek infrastruktur asas dan kemudahan untuk komuniti setempat.
Jelasnya, peruntukan RM5 juta untuk projek RTP setiap tahun bagi setiap wakil rakyat Kerajaan Sarawak akan dapat merapatkan lagi jurang pembangunan antara rakyat kawasan bandar dan luar bandar dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Datuk Francis bersama rombongan telah mengadakan lawatan ke tapak projek RTP lintasan konkrit bertetulang di Rumah Ipan Chupong, Kampung Pruan C dan ke tapak pembinaan rumah panjang baharu di Rumah Charli Ata di Kampung Pruan A.
Beliau kemudiannya mengakhiri lawatan ke tapak projek naik taraf sistem perparitan di Rumah Duman Gunggang, Kampung Sri Kejatau dan seterusnya mendegar maklum balas daripada Tuai Rumah di situ. -EDISI UKAS