KUCHING: Sarawak kini semakin dikenali di peringkat antarabangsa dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain hasil kestabilan politik serta dasar pembangunan yang jelas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, reputasi negeri ini semakin kukuh, bukan sahaja di peringkat nasional malah turut mendapat perhatian global termasuk daripada Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.
"Disebabkan itu, ramai yang datang ke Sarawak di mana jika dilihat, para duta dari Kesatuan Eropah semuanya datang ke Sarawak, termasuk juga dari Amerika Syarikat.
"Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga dijemput untuk memberi pandangan dalam ekonomi baharu ini, khususnya dalam pengeluaran hidrogen.
"Jadi, ambillah peluang ini dan kita yakin kita dapat maju ke hadapan serta meningkatkan lagi pembangunan di negeri Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) 2026 di Kuching, pada Rabu.
Tambahnya, Sarawak juga meletakkan rangka kerja perundangan untuk memastikan setiap pelaburan itu mampu meningkatkan keyakinan pelabur, sama ada pelaburan langsung asing (FDI) mahupun pelaburan domestik (DDI), dengan setiap pelaburan yang dibuat diberi jaminan dan dilindungi dengan baik.
Justeru, beliau menyeru agar semua kakitangan termasuk agensi-agensi di bawah MINTRED supaya bekerjasama sebagai satu pasukan serta memperbaiki cara kerja dengan lebih kreatif.
"Dengan itu, kita dapat melaksanakan strategi yang betul dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
"Kita juga harus memastikan bahawa Sarawak akan terus menjadi pusat utama bagi pelaburan," ujar beliau.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri MINTRED Datuk Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat, Penasihat Kepada MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED Datu Lester Matthew dan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Ramzani