Program CSR JTS Bahagian Samarahan Santuni 25 Organisasi Di Sebuyau
SEBUYAU: Sebanyak 25 organisasi tempatan di kawasan Sebuyau disantuni menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) Bahagian Samarahan yang berlangsung di Pejabat Daerah Sebuyau pada Rabu.
Program tersebut melibatkan 17 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), enam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sebuah Taska KEMAS serta Persatuan Nelayan Sebuyau sebagai penerima sumbangan.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Ahmad Raslan Yaiyah berkata, program CSR berkenaan mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat khususnya dalam membantu kampung, institusi pendidikan dan persatuan yang menjadi tunjang kesejahteraan komuniti.
Menurutnya lagi, kejayaan program kali ini turut disokong hasil kerjasama dengan pihak industri, termasuk sumbangan daripada SEDC Resources yang menunjukkan komitmen sosial tinggi dalam membantu pembangunan komuniti setempat.
“Melalui program ini, setiap penerima telah menerima sumbangan sebanyak RM10,000 yang diharap dapat dimanfaatkan untuk tujuan kebajikan, pembangunan infrastruktur asas serta sokongan kepada penduduk dan pelajar,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kehadiran pihak industri di sesuatu kawasan harus membawa manfaat bersama, bukan sahaja dari aspek ekonomi, malah turut menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat melalui kerjasama antara sektor awam, swasta dan komuniti.
Selain itu, penerima sumbangan juga diingatkan agar mengemukakan laporan penggunaan dana CSR secara bertulis dalam tempoh tiga bulan bagi tujuan rekod jabatan. -EDISI UKAS