Masyarakat Diseru Terus Bersabar Nantikan Projek Siap
LINGGA: Penduduk Daerah Lingga diseru agar terus bersabar sementara menantikan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan siap sepenuhnya demi manfaat bersama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, beberapa projek utama kini giat dilaksanakan termasuk pembinaan jalan serta pembangunan Tebingan Sungai Lingga Fasa 2 yang dijangka memberi impak positif kepada pembangunan kawasan tersebut.
Menurutnya, beberapa cadangan projek di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) sedang diusahakan agar dapat dipercepatkan pelaksanaannya.
"Walau bagaimanapun, semua pihak perlu akur dengan prosedur dan proses kelulusan yang ditetapkan sebelum sesuatu projek dapat dilaksanakan," katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri peringkat Daerah Lingga di Dewan Serbaguna Lingga pada Rabu.
Tambahnya, perancangan pembangunan turut melibatkan kemudahan awam seperti Dataran Lingga dan Kompleks Sukan bagi menyediakan ruang rekreasi serta aktiviti riadah kepada komuniti setempat.
Dayang Noorazah turut mengakui Daerah Lingga berdepan cabaran tahun ini berikutan isu bekalan air.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) atas usaha berterusan memastikan bekalan air kepada penduduk sentiasa disalurkan. -EDISI UKAS