Majlis Konvokesyen Projek Link 2025 Raikan Tujuh Graduan Jurukimpal Berkemahiran Tinggi
MIRI: Seramai tujuh graduan yang berjaya menamatkan latihan intensif Projek Link (Kimpalan Arka Tinggi) Kolej Vokasional (KV) Miri diraikan dalam majlis konvokesyen diadakan di Grand Palace Hotel, Miri pada Isnin.
Pengarah KV Miri, John Atong menegaskan bahawa Projek Link merupakan platform penting dalam melahirkan jurukimpal mahir untuk memenuhi permintaan industri minyak dan gas.
Katanya, program yang telah beroperasi lebih 35 tahun itu bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah ramai graduannya kini berkhidmat di peringkat antarabangsa.
Beliau turut berkongsi hasrat KV Miri untuk memperkasa kurikulum dengan teknologi kimpalan moden seperti Robotic Welding, Magnetic Arc Welding dan Ultrasonic Welding, sejajar perkembangan Industri 5.0.
Sementara itu, Choong Yen Li yang mewakili Sarawak Shell Berhad, menyatakan penghargaan kepada KV Miri dan para ibu bapa atas kejayaan melahirkan kumpulan pelatih berkualiti.
Katanya, sejak dilaksanakan pada 1989, Projek Link telah menghasilkan lebih 1,000 jurukimpal bertaraf antarabangsa dengan pensijilan seperti ASME dan AWS.
Beliau menegaskan komitmen Shell dalam menyokong program tersebut melalui kepakaran teknikal serta memastikan latihan yang diberikan kekal relevan dengan standard industri.
Menurutnya, penekanan terhadap penguasaan Bahasa Inggeris perniagaan dan aspek keselamatan menjadikan graduan Projek Link lebih kompetitif di pasaran kerja.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada tujuh graduan Projek Link 2025 iaitu Alexster Emang Julian Anyie, Daviesan Noah David Luta, Boniface Sumbang Luat, Nathaneal Linggir Singkat, Wathson Kaya Tonafa Manyie, Sylvester Gendi Gorman dan Yakub Alen.
Konvokesyen tersebut sekali lagi mengukuhkan peranan KV Miri sebagai institusi TVET terkemuka dalam melahirkan tenaga kerja profesional yang memenuhi keperluan industri minyak dan gas di Sarawak.-EDISI UKAS