SBC Dengan Kerjasama KITKOJI Lancarkan Produk Trove Borneo, Minyak Pati Berasaskan Tanaman Tempatan Sarawak
KUCHING: Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) dengan kerjasama KITKOJI telah melancarkan produk Trove Borneo iaitu satu produk minyak pati 100 peratus tulen yang berasaskan tanaman tempatan Sarawak.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) merangkap Pengerusi SBC Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, kejayaan ini merupakan bukti pendekatan Kerajaan Sarawak untuk mengembangkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam aspek komersial pasaran dunia.
“Kita kembangkan pengeluaran, penyelidikan, dan hasil kerja kita untuk menunjukkan segala usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para penyelidik, saintis, dan SBC dan mempersembahkannya kepada dunia untuk pertimbangan mereka.
“Bagi Kerajaan Sarawak pula, saya berpendapat bahawa pendekatan yang diambil oleh SBC merupakan pelopor yang boleh dijadikan contoh oleh agensi lain, di mana kita tidak seharusnya hanya menumpukan kepada pasaran tempatan. Kita perlu melangkah ke peringkat global di mana pasaran sebenar berada,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog pelancaran produk Trove Borneo, di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KITKOJI, Ken Koh berkata, 50 peratus hasil jualan produk ini akan dikembalikan kepada SBC dan masyarakat tempatan untuk menggalakkan lebih banyak penyelidikan dalam pengeluaran produk berasaskan sumber tempatan di Sarawak.
Dalam majlis yang sama, Dato Sri Dr Muhammad Abdullah turut menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persetujuan (MoA) antara Ketua Pegawai Eksekutif SBC Dato Dr Yeo Tiong Chia dan Ken.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT) Ts Hazwan Razak. -EDISI UKAS