Marapati Angkat Legenda dan Warisan Sarawak Ke Pentas Seni Moden
KUCHING: Penghasilan karya seni persembahan yang berteraskan legenda, sejarah dan warisan tempatan perlu terus diperkasakan bagi memastikan khazanah budaya Sarawak kekal relevan serta dapat diwarisi generasi muda.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, pementasan Teater Muzikal Epik Nusantara Marapati merupakan antara usaha kreatif dalam mengangkat cerita legenda tempatan menerusi pendekatan seni persembahan moden.
Menurut beliau, karya seumpama itu membuktikan bahawa cerita dan warisan tempatan mempunyai potensi besar untuk diterjemahkan melalui pelbagai medium kreatif, termasuk teater muzikal, produksi sinematik dan persembahan pentas berskala besar.
“Pendekatan ini menunjukkan bahawa bidang seni persembahan juga mampu menggabungkan penggunaan teknologi dan kaedah persembahan baharu tanpa mengetepikan kekuatan seni persembahan secara langsung,” katanya dalam sidang media Teater Muzikal Marapati di Star On Stage pada Selasa.
Datuk Snowdan berkata, produksi berkenaan turut menampilkan sembilan buah lagu baharu yang dicipta khusus untuk pementasan itu, sekali gus membuka ruang kepada komposer, pemuzik, penyanyi dan tenaga kreatif tempatan untuk mengembangkan bakat dalam industri seni.
Beliau turut menekankan kepentingan memberi peluang kepada bakat baharu untuk menimba pengalaman bersama penggiat seni berpengalaman bagi memastikan pemindahan ilmu, kemahiran dan kepakaran antara generasi terus berlaku.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan sektor berkenaan, termasuk melalui penyediaan Dana Mudah Cara Warisan dan Kesenian Sarawak.
Dana itu merupakan antara mekanisme sokongan bagi membantu persatuan, pertubuhan dan penggiat seni melaksanakan program serta aktiviti yang berpotensi memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.
Beliau berharap kejayaan produksi Marapati dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak persatuan dan penggiat seni tempatan untuk menghasilkan karya kreatif yang mengangkat sejarah, identiti serta warisan Sarawak.
Katanya, pembangunan industri kreatif bukan sahaja memerlukan sokongan kerajaan, malah kerjasama erat antara persatuan seni, institusi kebudayaan, sektor swasta dan komuniti bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta memperluas ekosistem seni persembahan negeri.-EDISI UKAS