Penduduk di Dalat dan Oya Digesa Bersiap Siaga Hadapi MTL
DALAT: Penduduk di Daerah Dalat dan Daerah Kecil Oya yang tinggal di kawasan rendah serta lokasi yang terdedah kepada hujan berterusan dan fenomena air pasang besar digesa meningkatkan kesiapsiagaan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dalat, Lt. (PA) Mohammad Azhar Ali berkata, MTL yang lazimnya berlangsung dari November hingga Mac membawa hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora, sekali gus meningkatkan risiko banjir serta tanah runtuh.
Menurutnya, Kampung Klid, Kampung Narub, Kampung Sua dan Nanga Baoh antara kawasan di Dalat yang sering mengalami banjir termenung, susulan kedudukan kawasan rendah serta limpahan air dari hulu Sungai Batang Oya dan sungai berhampiran.
"Kampung Medong Hulu, Kampung Medong Hilir, Kampung Kekan, Kampung Sungai Ud, Kampung Brunei, Kampung Seberang, Kampung Baru dan Kampung Hilir turut dikenal pasti berisiko banjir, manakala Taman Ceria Dalat berpotensi mengalami banjir kilat akibat hujan lebat dan sistem perparitan yang kurang baik.
"Di Daerah Kecil Oya pula katanya, kawasan berisiko termasuk Kampung Kuala Hilir Oya, Kampung Senau Oya, Kampung Boom Oya, Kampung Bakong Oya, Kampung Terus Oya dan Kampung Teh Oya, khususnya ketika fenomena air pasang besar," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk supaya membuat persediaan awal dengan menyediakan beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting, ubat-ubatan, lampu suluh, pengecas mudah alih, wang tunai serta keperluan asas keluarga.
Penduduk katanya juga perlu mengenal pasti lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS), laluan pemindahan dan jalan alternatif sekiranya laluan utama dinaiki air, selain memastikan persediaan mengambil kira keperluan golongan rentan seperti warga emas, bayi, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU).
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya memastikan longkang dan parit tidak tersumbat, memindahkan barangan berharga ke tempat lebih tinggi serta meletakkan kenderaan dan haiwan peliharaan di kawasan selamat sebelum keadaan banjir menjadi lebih buruk.
Penduduk juga disaran sentiasa memantau perkembangan cuaca, paras air sungai dan amaran banjir melalui saluran rasmi seperti Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
"Sekiranya banjir berlaku, keselamatan nyawa perlu diutamakan dengan berpindah segera ke kawasan tinggi atau PPS apabila diarahkan pihak berkuasa, selain mengelakkan daripada meredah kawasan banjir serta memutuskan bekalan elektrik, air dan gas sekiranya keadaan mengizinkan sebelum meninggalkan rumah," tegasnya.
Menurutnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut memainkan peranan dalam pengurusan bencana sebagai sekretariat bencana di peringkat daerah dan negeri, selain terlibat dalam operasi pemindahan penduduk terjejas serta membantu pengurusan di PPS.-EDISI UKAS