Institusi Keluarga Benteng Utama Cegah Penyalahgunaan Dadah, Gejala Sosial
DEBAK: Pengukuhan institusi keluarga dan penglibatan aktif komuniti menjadi antara elemen penting dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah, substans serta jenayah siber demi menjamin kesejahteraan masyarakat di Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, institusi keluarga merupakan benteng awal dalam mencegah penglibatan anak-anak dalam pelbagai gejala sosial.
Menurutnya, ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak, memahami perubahan tingkah laku mereka serta membina komunikasi yang baik bagi membolehkan sebarang permasalahan dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Program Kesedaran dan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah, Substans dan Jenayah Siber di Daerah Kecil Debak, Betong Tahun 2026 di Dewan Millennia, Debak pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, golongan belia perlu dibimbing supaya bijak memilih pergaulan, menjauhi pengaruh negatif serta memanfaatkan usia muda dengan menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan menyertai aktiviti berfaedah.
Katanya, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) terus memperkukuh usaha menangani penyalahgunaan dadah dan substans melalui pelaksanaan OSC MIDS di peringkat negeri dan daerah.
Usaha tersebut perlu disokong menerusi kerjasama bersepadu antara agensi penguatkuasaan, agensi pemulihan, institusi pendidikan, pemimpin masyarakat dan pertubuhan komuniti bagi memastikan pendekatan pencegahan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Mengulas situasi semasa, Datuk Dr Mohammad Razi berkata, sebanyak 12,323 tangkapan berkaitan kesalahan dadah direkodkan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.
Daripada jumlah tersebut, 9,545 tangkapan melibatkan kategori penagih, 2,219 bagi kesalahan memiliki dadah dan 559 berkaitan bekalan dadah.
Sementara itu, Bahagian Betong merekodkan 376 kes penyalahgunaan dadah dan substans sehingga Oktober 2026.
Dalam aspek keselamatan digital pula, sebanyak 32 kes jenayah siber direkodkan di Daerah Betong bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, melibatkan kerugian berjumlah RM220,851.02.
Penipuan e-dagang mencatatkan 14 kes, diikuti penipuan pinjaman tidak wujud sebanyak 12 kes.
Di peringkat Sarawak, sebanyak 2,688 kes jenayah siber direkodkan dalam tempoh sama dengan kerugian mencecah RM88.89 juta.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan digital, berwaspada terhadap tawaran mencurigakan serta tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat peribadi dengan pihak yang tidak dikenali.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya mengurangkan stigma terhadap individu yang sedang menjalani proses pemulihan, sebaliknya memberikan bimbingan, sokongan dan peluang kedua kepada mereka untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik dan produktif. –EDISI UKAS