Sambutan Hari Keluarga PVTMS Perkukuh Persaudaraan Veteran Tentera
MIRI: Semangat persaudaraan dan setiakawan dalam kalangan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dipelihara menerusi penganjuran Sambutan Hari Ulang Tahun Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) Ke-15 dan Hari Keluarga PVTMS 2026 di Lot 128, Piasau Camp, di sini, baru-baru ini.
Bertemakan “Once A Warrior, Forever Brothers” atau Sekali Pahlawan, Selamanya Bersaudara, program anjuran PVTMS Cawangan Miri itu menghimpunkan kira-kira 130 ahli veteran bersama keluarga masing-masing dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Presiden PVTMS, Francis Yeo Wan Hui dan turut dihadiri Penyelia Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Sjn Mac Obryne Mawan, serta veteran dari Biro Marudi, Bekenu, Baram dan Batu Niah.
Turut hadir ahli PVTMS dari Bintulu, balu veteran, ahli keluarga serta wakil Persatuan Orang Cacat Sarawak (POCS) dan Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal Miri (POKUFM).
Ketua Biro PVTMS Miri, Kissinger Tutong berkata, sambutan tersebut bukan sekadar meraikan ulang tahun penubuhan persatuan, malah menjadi wadah untuk mengekalkan ikatan persaudaraan yang terbina melalui pengorbanan dan pengalaman bersama sepanjang berkhidmat dalam ATM.
Menurutnya, semangat seorang pahlawan tidak pernah berakhir selepas seseorang menamatkan perkhidmatan, sebaliknya terus hidup dalam jiwa setiap veteran tanpa mengira pangkat dan jawatan yang pernah disandang.
Beliau turut menyeru warga veteran agar terus memelihara hubungan silaturahim, mengukuhkan semangat setiakawan serta memastikan kebajikan ahli dan keluarga sentiasa diberi perhatian supaya tiada yang berasa tersisih daripada komuniti persatuan.
Antara pengisian program ialah penyampaian bakul makanan kepada veteran dan balu veteran yang uzur, sukaneka untuk anak-anak veteran, cabutan tiket bertuah serta aktiviti pertukaran hadiah dalam kalangan ahli.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen PVTMS dalam mengekalkan hubungan kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan veteran, selain memastikan semangat persaudaraan yang terbina sepanjang perkhidmatan terus diwarisi dan dihargai oleh generasi seterusnya.-EDISI UKAS