MIRI: Penganjuran OG Night Rush Miri 2027 pada 9 Januari tahun depan dijangka menjadi antara tarikan baharu dalam kalendar sukan dan pelancongan bandar raya Miri dengan menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, acara larian malam itu bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah berpotensi menarik penyertaan pengunjung dari luar Miri, khususnya Brunei Darussalam.
Menurut beliau, konsep larian pada waktu malam menawarkan pengalaman berbeza berbanding acara larian yang lazimnya diadakan pada waktu pagi, sekali gus memberi peluang kepada peserta untuk beriadah, berinteraksi dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Katanya, penawaran kategori 5KM dan 10KM bagi lelaki dan wanita turut membuka peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk keluarga untuk menyertai aktiviti sukan dan rekreasi berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Media dan Pelancaran Rasmi OG Night Rush Miri 2027 anjuran OG Run Team bersama RH One Group Sdn Bhd di Hotel Mercure, Miri pada Isnin.
Datuk Sebastian turut menegaskan bahawa penganjuran acara sukan berskala sedemikian mampu memberikan limpahan ekonomi kepada bandar raya Miri, khususnya dalam sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perniagaan tempatan.
Kehadiran peserta dari luar kawasan dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat, selain memberi peluang kepada peniaga dan usahawan tempatan menikmati manfaat daripada kehadiran pengunjung sepanjang penganjuran acara tersebut.
Beliau berkata, kementerian sentiasa mengalu-alukan inisiatif sektor swasta dalam memperkaya serta mempelbagaikan produk pelancongan Sarawak, sambil berharap OG Night Rush Miri 2027 dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai sasaran penyertaan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru pihak penganjur agar memberikan perhatian sewajarnya terhadap aspek keselamatan peserta dan kelancaran perjalanan acara, selain mengharapkan sokongan media dalam memperluas promosi program berkenaan kepada masyarakat.-EDISI UKAS