Sarawak Ke Arah ‘Lean Government’, Pentadbiran Lebih Efisien, Pantas & Kurang Birokrasi
KUCHING: Sarawak kini mengorak langkah ke arah pentadbiran ‘lean government’ iaitu sebuah model pengurusan yang lebih efisien, pantas dan kurang birokrasi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, konsep pentadbiran tersebut menekankan kemampuan menyesuaikan diri dengan transformasi digital dan kecekapan menguruskan dana.
“Kedua-dua aspek kemampuan menyesuaikan diri dengan transformasi digital dan kecekapan mengurus dana adalah perkara yang paling saya hargai.
"Kita sedang menghala ke arah pentadbiran yang lebih ‘lean’,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Menurut beliau, perkhidmatan awam yang dinamik dan berdaya tinggi adalah asas penting untuk menjayakan agenda pembangunan Sarawak dalam tempoh terdekat.
Beliau turut memuji keupayaan perkhidmatan awam Sarawak menyesuaikan diri dengan transformasi digital negeri.
Dalam masa sama tegasnya, pelaksanaan dasar kerajaan memerlukan kerjasama erat di antara agensi negeri dan Persekutuan, terutamanya dalam sektor-sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan.
“Dalam sektor pendidikan, ramai pegawai perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan bekerjasama menyelesaikan isu sekolah daif. Begitu juga dalam sektor kesihatan.
“Struktur kerjasama ini telah menjadikan pelaksanaan projek lebih lancar, selaras dengan dasar pembangunan Sarawak," katanya.
Sementara itu, Premier Sarawak menjelaskan bahawa penyelarasan gaji penjawat awam negeri berbanding Persekutuan adalah perkara subjektif.
Jelasnya, fokus kerajaan ketika ini adalah memastikan perkhidmatan awam kekal cekap, responsif dan selari dengan transformasi pentadbiran negeri.
“Standard gaji itu sangat subjektif. Apa yang lebih penting ialah kecekapan jentera perkhidmatan awam.
"Saya berterima kasih kepada perkhidmatan awam Sarawak dan Persekutuan yang menjadi jentera efektif dalam melaksanakan dasar kerajaan,” katanya lagi.
Tambahnya, kebolehan jabatan menguruskan peruntukan secara teratur dan berdisiplin menjadikan pentadbiran negeri lebih kukuh dan efektif. -EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Raiz