59.4 Peratus Perkhidmatan Kerajaan Sarawak Kini Dalam Talian
KUCHING: Sebanyak 59.4 peratus perkhidmatan Kerajaan Sarawak kini disediakan secara dalam talian menandakan kemajuan signifikan dalam transformasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke arah lebih cekap, efisien dan berimpak kepada rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, transformasi digital tersebut adalah bukti komitmen perkhidmatan awam untuk menjadi lebih cekap, efisien, tangkas dan berorientasikan hasil selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau menjelaskan, usaha ini bertujuan mewujudkan kerajaan yang inklusif, efisien, dan berpusatkan rakyat, dengan memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan ketelusan, mengukuhkan akauntabiliti dan memastikan setiap rakyat Sarawak mempunyai akses sama rata terhadap peluang pembangunan.
“Menjelang 2030, saya menjangkakan setiap sektor ekonomi Sarawak daripada pertanian, perindustrian hingga perkhidmatan dan tadbir urus akan berasaskan digital, menjadikan inovasi dan teknologi sebahagian daripada cara kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya semasa menyampaikan amanat dalam Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Khamis.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menekankan bahawa transformasi Perkhidmatan Awam bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi bermula dengan pemikiran.
Justeru, beliau menyeru agar penjawat awam membudayakan inovasi sebagai amalan harian, dengan pegawai berfikir kreatif, menyesuaikan diri dan bertindak tepat, menjadikan perkhidmatan awam lebih responsif, efisien dan berkesan.
Beliau menambah, dengan menyelaraskan sistem, bakat, dan rangka kerja tadbir urus dengan fokus strategik terhadap inovasi, kelestarian, dan keterangkuman, Sarawak dapat memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta dan Syarikat Milik Kerajaan (SOEs).
Menurutnya, kerjasama itu membentuk tulang belakang ekosistem berprestasi tinggi yang memacu keberkesanan, merangsang perusahaan dan mempercepat transformasi Sarawak ke arah ekonomi baharu.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Jurufoto: Muhammad Rais Sanusi