Kerajaan Sarawak Lulus RM150 Juta Tingkat Kapasiti Elektrik Samarahan
SEBUYAU: Kerajaan Sarawak terus memperkasa pembangunan utiliti negeri dengan meluluskan peruntukan RM150 juta bagi melaksanakan projek naik taraf bekalan elektrik di Bahagian Samarahan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek berskala besar itu merupakan langkah strategik untuk meningkatkan kapasiti serta kestabilan sistem bekalan elektrik, sekali gus mengurangkan gangguan yang kerap berlaku terutama di kawasan luar bandar.
“Kebanyakan kawasan luar bandar masih menggunakan sistem elektrik fasa tunggal, yang menyebabkan penggunaan elektrik mencapai tahap maksimum sehingga mudah berlaku ‘trip’ dan ‘short’."
"Oleh itu, usaha menaik taraf bekalan elektrik ini diyakini dapat mengurangkan gangguan bekalan di kawasan luar bandar.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Projek Naik Taraf Bekalan Elektrik Bahagian Samarahan di Dewan Kampung Sampat, Sebangan pada Ahad.
Majlis pelancaran projek tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi menambah, projek yang akan bermula pada Disember 2025 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028 merangkumi kawasan Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong.
Beliau menjelaskan bahawa projek tersebut akan menggunakan teknologi Medium Voltage Covered Conductor (MVCC), iaitu sistem kabel voltan sederhana berpenebat yang mampu mengurangkan gangguan disebabkan cuaca buruk, sambaran kilat, haiwan atau sentuhan pokok.
Tambahnya, sejak tahun 2021 hingga 2024, kerajaan negeri telah membelanjakan RM48 juta bagi mengukuhkan infrastruktur elektrik di kawasan itu termasuk pembinaan Substesen 33kV Asajaya dan Gedong serta pemasangan kabel bawah tanah.
Beliau menegaskan, pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat besar kepada penduduk apabila isu kerosakan peralatan elektrik dan gangguan bekalan dapat dikurangkan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan.
Antara skop utama projek termasuk pemasangan talian MVCC dari Asajaya ke Jambatan Batang Sadong, pembinaan dua kabel dasar sungai menyeberangi Batang Sadong, pemasangan MVCC ke Sebuyau, Simunjan dan Gedong, pemasangan kabel fiber optik sepanjang lebih 68 kilometer (km) serta penggantian dan penyusunan semula talian serta transformer sedia ada.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak ( lTenaga dan Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Simunjan, Awla Dris, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, Residen Samarahan, Mohd Irwan Bahari Bujang serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS