Permintaan Tenaga Meningkat, Naik Taraf Bekalan Elektrik Diberi Keutamaan
SEBUYAU: Keperluan menaik taraf bekalan elektrik harus diberi keutamaan berikutan pola penggunaan tenaga masa kini menuntut kapasiti tenaga jauh lebih tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kehidupan masyarakat luar bandar kini berubah seiring perkembangan teknologi dan peningkatan keperluan ekonomi, sekali gus menuntut sistem bekalan elektrik yang lebih stabil serta mencukupi.
“Dulu sekitar tahun 1979, penduduk hanya menggunakan single phase dalam erti kata lain "cukup-cukup" elektrik saja.
"Sekarang zaman sudah berubah, semua teknologi memerlukan tenaga elektrik yang lebih tinggi. Sudah tentu bekalan lama tidak lagi mencukupi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Projek Naik Taraf Bekalan Elektrik Bahagian Samarahan di Dewan Kampung Sampat, Sebangan pada Ahad.
Premier Sarawak menambah, meskipun kerajaan Persekutuan sebelum ini telah menyalurkan peruntukan, namun pelaksanaannya masih tertangguh.
Justeru jelasnya, kerajaan negeri mengambil inisiatif sendiri dengan memperuntukkan RM150 juta bagi melaksanakan naik taraf bekalan elektrik tiga fasa di seluruh Samarahan hingga ke Sebuyau.
"Naik taraf itu merangkumi pembinaan dua substesen utama di Asajaya dan Sebuyau, selain pemasangan kabel moden yang lebih selamat dan tahan lasak bagi mengurangkan insiden tripping dan short circuit," katanya.
Tambah beliau, selepas pelaksanaan di Samarahan, projek naik taraf seterusnya akan diperluas ke Bahagian Betong sebagai usaha memastikan bahagian selatan Sarawak menikmati kemudahan setaraf kawasan bandar.
"Dalam masa lima hingga tujuh tahun, seluruh Sarawak akan menggunakan bekalan elektrik tiga fasa.
"Ini akan melonjakkan pembangunan luar bandar ke tahap yang lebih baik,” katanya.-EDISI UKAS