Kerajaan Sarawak Komited Perkukuh Pendidikan Tingkatan 6 di Limbang
LIMBANG: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan pendidikan di daerah ini melalui pelbagai inisiatif baharu, termasuk menaik taraf pusat pembelajaran Tingkatan 6 kepada sebuah Kolej Tingkatan 6 serta peningkatan bantuan kewangan untuk pelajar.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, elajar Tingkatan 6 di Limbang memiliki potensi seiring pelajar di kawasan lain, dibuktikan dengan pencapaian cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum.
“Seperti dimaklumkan oleh Pengetua, keputusan persemester 10 pelajar STPM tahun ini mencatatkan purata CGPA sekitar 3.2, satu pencapaian membanggakan. Tahniah kepada semua guru dan pelajar,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Makan Malam 2025 Kasual Bergaya: Malam Trilogi Aurora Tingkatan 6 di Dewan Inspirasi,SMK Kubong pada Sabtu.
Dalam majlis sama, beliau turut memaklumkan bahawa semua pelajar Tingkatan 6 SMK Kubong akan dipindahkan ke Pusat Tingkatan 6 di SMK Limbang, yang kini sedang dinaik taraf dengan kemudahan baharu termasuk asrama dan infrastruktur pembelajaran yang lebih lengkap.
“Kerajaan akan menaik taraf pusat ini kepada Kolej Tingkatan 6 khusus bagi daerah Limbang. Kita telah menerima peruntukan khas kira-kira RM5 juta daripada YAB Premier Sarawak bagi tujuan ini,” katanya sambil menambah proses tersebut dijangka mengambil masa dan mungkin belum siap sepenuhnya pada tahun hadapan.
Beliau menjangkakan pusat berkenaan akan mula beroperasi pada tahun 2027, sekaligus membuka lebih banyak peluang pendidikan berkualiti kepada pelajar tempatan.
Sementara itu, Datuk Dr Abdul Rahman turut menekankan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada rakyat negeri ini.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Mat Zinan Wahit, Pengetua SMK Kubong Dolphina Balang, barisan kepimpinan Tingkatan 6, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta para ibu bapa dan pelajar.-EDISI UKAS