Hari Pra Natal PKSCA Perkukuh Perpaduan Komuniti Kayan
BELAGA: Sambutan Hari Pra Natal Persatuan Kayan Sarawak Cawangan Asap (PKSCA) 2026 menjadi platform memperkukuh perpaduan dan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Kayan di kawasan Sungai Asap.
Program yang berlangsung di Ruai Maren Uma, Uma Lesong Apo’ Koyan pada Khamis itu menghimpunkan kira-kira 250 penduduk, termasuk pemimpin masyarakat serta wakil agensi berkaitan.
Sambutan berkenaan turut menjadi ruang untuk mengetengahkan keperluan pembangunan komuniti, khususnya dalam aspek pendidikan dan teknologi digital bagi memastikan masyarakat setempat terus mendapat manfaat daripada kemajuan semasa.
Menyentuh perkara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Micheal Mujah Lihan dalam ucapannya menekankan kepentingan pembangunan teknologi digital berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) serta pendidikan bagi membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat di Sungai Asap.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pelbagai inisiatif kerajaan dalam membawa pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan Sungai Asap dan Apau’ Koyan.
Sebagai sokongan terhadap kesinambungan aktiviti persatuan dan pembangunan komuniti, beliau mengumumkan sumbangan RM25,000 kepada PKSCA bagi 2027, dengan Uma Juman dipilih sebagai tuan rumah dan penyelaras penganjuran program pada tahun hadapan.
Beliau turut mengumumkan sumbangan RM15,000 kepada Uma Lesong bagi menyokong keperluan serta aktiviti pembangunan komuniti setempat.
Sumbangan keseluruhan RM40,000 itu mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkukuh persatuan dan pembangunan komuniti di kawasan berkenaan.
Hadir sama, Maren Uma, Uma Juman merangkap Pengerusi PKSCA Cawangan Asap, Donny Dian Talik, Ketua Masyarakat Apau’ Koyan, Pemanca Tony Kulleh dan Pemanca Umek Jeno, wakil Sarawak Energy Berhad, Rome Kulleh serta Maren Uma, Uma Lesong Apo’ Koyan, Huvat Laing.-EDISI UKAS