Jerayawara Dan Larian Obor Sukan SEA Ke-34 Kluster Sarawak Bermula Januari 2027
KUCHING: Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Sekretariat Sukan SEA Malaysia Ke-34 Kluster Sarawak melipatgandakan promosi penganjuran temasya dwitahunan itu melalui penganjuran jerayawara dan larian obor yang akan diadakan di 13 lokasi di seluruh negeri bermula tahun depan.
Menurut Ketua Sekretariat Sukan SEA Malaysia Ke-34 Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee, program tersebut diadakan bagi mempromosi penganjuran sukan tersebut kepada seluruh rakyat Sarawak termasuk di negeri-negeri lain.
“Kita mahu seluruh rakyat di negeri ini tahu mengenai penganjuran Sukan SEA di Sarawak, apakah acara sukan, venue dan pelbagai informasi lain.
“Kita mahu rakyat turut sama merasai kehangatan sambutan temasya ini,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat LOC Sekretariat Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak di sini hari ini.
Berdasarkan perancangan, lokasi awal program tersebut diadakan di Kompleks Sukan Lawas dari 30-31 Januari, disusuli di Bintang Megamall Miri dari 20 - 21 Mac dan Boulevard Shopping Mall Bintulu dari 3-4 April bagi Zon Utara Sarawak.
Ia akan diteruskan di Zon Tengah meliputi Dewan Suarah Mukah (24-25 April), Wisma Sanyan & Dataran Tun Tuanku Bujang, Sibu (1-2 Mei), Dataran Town Square Kapit (23-24 Mei), Dewan Suarah Sarikei (5-6 Jun) dan Dewan Panglima Rentap, Betong (19-20 Jun).
Manakala bagi Zon Selatan, ia akan diadakan di Waterfront Sri Aman (3-4 Julai), Serian Conference Centre (17-18 Julai), Summermall Samarahan (31 Julai - 1 Ogos), Telok Melano Sematan (21-22 Ogos) dan diakhiri di Plaza Merdeka & Padang Merdeka Kuching (11-12 September).
Datu Hii yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) menambah, pengisian aktiviti untuk jerayawara antaranya, pameran maklumat umum penganjuran Sukan SEA di Sarawak, pameran pencapaian atlet Kontinjen Malaysia, Sesi Meet & Greet bersama atlet/ikon Sukan Sarawak serta kuiz Sukan SEA 2027.
Manakala untuk larian obor, pengisian aktiviti termasuk Majlis Simbolik Penyerahan Obor, Program Sarawak X-Tive, Jualan / Pameran Produk Usahawan Tempatan dan
cabutan bertuah.
Sasaran penyertaan adalah seramai 1,000 peserta dengan jarak larian obor 3 hingga 5 kilometer. - EDISI UKAS