JTS Sarawak Raikan 123 Pesara, Hargai Khidmat Bakti Hingga 40 Tahun
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak meraikan seramai 123 warga kerjanya yang bersara pada 2026 dan bakal bersara pada 2027 menerusi Majlis Penghargaan Bakal Pesara 2026/2027, ‘Sekalung Kasih, Sejambak Budi’ di Hotel Sheraton Kuching, pada Khamis.
Daripada jumlah itu, seramai 68 orang merupakan pesara bagi tahun 2026 manakala 55 orang lagi bakal bersara pada 2027.
Majlis bertemakan Batik itu disempurnakan oleh Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, sebagai penghargaan terhadap dedikasi, komitmen dan pengorbanan warga jabatan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Dalam ucapannya, beliau berkata warga jabatan yang diraikan telah menyumbang khidmat bakti antara 15 hingga 35 tahun, malah ada yang mencapai tempoh perkhidmatan sehingga 40 tahun dalam membantu memacu pembangunan Sarawak.
Beliau turut menyifatkan pengalaman, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki para pesara sebagai aset berharga yang masih boleh dimanfaatkan untuk menyumbang kepada masyarakat serta menyokong agenda pembangunan negeri.
Mengulas mengenai persediaan menghadapi alam persaraan, beliau turut menasihati para pesara supaya merancang pengurusan kewangan dan ganjaran persaraan dengan bijak, selain sentiasa berwaspada terhadap ancaman penipuan dalam talian yang menyasarkan golongan pesara.
Majlis itu turut mengenang jasa sembilan kakitangan yang telah meninggal dunia pada tahun ini, melibatkan warga Ibu Pejabat serta pejabat bahagian Sibu, Miri, Betong, Bintulu, Mukah dan Kapit.
Penganjuran majlis penghargaan itu merupakan kemuncak selepas 70 bakal pesara mengikuti Kursus Pra-Persaraan selama dua hari pada 25 hingga 26 November lalu sebagai persediaan menyeluruh sebelum melangkah ke fasa kehidupan baharu.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Pengurusan) Sr Rozlan Putit, Timbalan Pengarah (Operasi) TPr Irene Wee See Liang serta barisan Penolong Pengarah Cawangan dan Penguasa Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.-EDISI UKAS